KUALA LUMPUR, 6 Disember- Kerajaan akan mewujudkan Unit Pantau MADANI untuk melihat keberkesanan inisiatif yang diumumkan Kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, unit tersebut akan diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri.
"Saya akan pastikan supaya kita dapat laksanakan program pantau madani untuk melihat apakah memenuhi matlamat yang telah diumumkan.
"Jangan umpama pengumuman itu memukau dan menarik pelaksanaan itu hambar atau separuh daripada kejayaan dan ini Insya-Allah kita akan laksanakan", katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyatakan Jualan Rahmah dan Sumbangan Tunai Rahmah akan ditingkatkan untuk menampung harga barangan.
Menurut Anwar, usaha berkenaan adalah bagi membantu rakyat berikutan masalah dunia turut memberi kesan kepada lonjakan harga barangan.
"Kalau kita beri subsidi saya tegaskan sekali lagi faedahnya kepada 3.5 juta orang asing dan dimanfaatkan oleh warga asing dan golongan terkaya, kita hendak mengelak perkara itu.
"Kita terima kenyataan bahawa ada masalah tapi untuk mengatakan harga barang tidak pernah tinggi seperti ini tidak benar", kata Anwar demikian dalam Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani : Tiwikrama Perdana Menteri pada Selasa.