fb fb fb fb fb

Keputusan Zahid bebas atau bela diri diketahui 23 September ini

SHAH ALAM, 7 September- Keputusan sama ada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) akan diketahui 23 September ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan.

Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani.

Manakala Datuk Seri Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Pada 11 Ogos, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 18 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

Perbicaraan yang berlangsung selama 29 hari bermula pada 24 Mei 2021.


(FOTO FAIL)

Media Baharu