fb fb fb fb fb

Keputusan membenarkan eksport semula ayam diputuskan kabinet hari ini - Rosol

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Keputusan sama ada membenarkan semula penternak mengeksport ayam atau sebaliknya, akan dimuktamadkan dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Ini selepas pembekuan eksport produk itu yang berkuatkuasa sejak 1 Jun lalu.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid perkara tersebut telah dibincangkan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) semalam.

(Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid)

" Semalam kita telah adakan mesyuarat bersama MAFI untuk berbincang hal tersebut, hari ini kabinet akan buat keputusan sama ada lambakan ayam tersebut membolehkan kita eksport atau tidak dan keputusannya kita tunggu dari mesyuarat kabinet hari ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan kempen "kopi merdeka" di ibu negara.

Tambah beliau beberapa langkah jangka pendek akan diputuskan melalui keputusan mesyuarat tersebut berhubung isu bekalan dan harga ayam.

Sebelum ini, kerajaan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan, sehingga harga dan pengeluaran ayam untuk kegunaan domestik kembali stabil.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa kementerian turut berdepan masalah harga makanan yang masih tinggi biarpun harga bekalan ayam sudah stabil.

Jelas beliau pihaknya sedang berusaha mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah tersebut yang disiasat dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Media Baharu