KUALA LUMPUR, 3 Januari-Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dijangka memberi impak positif kepada ekonomi negara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menyatakan kira-kira 323 mesyuarat ASEAN di pelbagai peringkat berlangsung tahun ini,termasuk sidang kemuncaknya yang dijangka Mei depan.
Jelasnya, pelbagai limpahan manfaat kepada rakyat diperoleh, terutama di negeri yang menjadi lokasi penganjuran.
Sektor perhotelan, pelancongan dan industri tempatan bakal disemarakkan.
Tambah Fahmi, Perdana Menteri turut menyarankan kementerian yang menjadi tuan rumah bagi mesyuarat ASEAN untuk mengutamakan produk kraf tangan tempatan sebagai cenderahati.
Jabatan Komunikasi Komuniti dan Jabatan Penerangan digesa memainkan peranan aktif dalam menyampaikan hasil mesyuarat ASEAN kepada rakyat dalam bahasa yang mudah difahami.
Sementara itu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menaruh harapan tinggi terhadap peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN untuk membuka peluang perniagaan di peringkat antarabangsa.
Ke arah itu, Presidennya Norsyahrin Hamidon berkata kerjasama dengan dewan perniagaan luar negara diatur.
Antaranya Singapura, Thailand dan Turkiye.
Fokusnya, membantu ahli DPMM meneroka peluang baharu di pasaran ASEAN dan global.
Di samping itu, melaksanakan program Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA) bagi memastikan golongan itu kekal kompetitif di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Selain menumpukan kepada ekonomi gig yang semakin berkembang.
Strategi berfokus ini sejajar usaha perkasa ekonomi Melayu seiring aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13.