Kenderaan nombor pendaftaran asing isi RON97 – KPDN

Foto hiasan

ALOR SETAR, 6 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan dakwaan sebuah kenderaan pendaftaran asing mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Changlun Kedah yang tular di Facebook pada 3 Januari lalu tiada pelanggaran melibatkan penjualan petrol bersubsidi.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN Kedah mengesahkan rakaman CCTV menunjukkan tiada penjualan petrol RON95 kepada kenderaan nombor pendaftaran asing.
  • Kenderaan terbabit sebenarnya mengisi RON97 sebanyak 25.02 liter bernilai RM79.06 dan dibayar menggunakan kad Visa.
  • Larangan jualan RON95 kepada kenderaan asing berkuat kuasa sejak 29 April 2025 dan pengusaha stesen minyak yang melanggar boleh didenda.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin menerusi kenyataan memaklumkan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup mengesahkan tiada perlanggaran berdasarkan siasatan terhadap aduan yang dibuat.

“Hasil siasatan mendapati kenderaan terbabit mengisi petrol RON97, bukannya RON95, dengan jumlah 25.02 liter bernilai RM79.06 dan bayaran dibuat menggunakan kad Visa.

“Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing telah berkuat kuasa sejak 29 April 2025 dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang melanggar arahan itu,” menurut kenyataan itu.

Sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan denda bawah Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu larangan penjualan minyak Petrol RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing dan pengusaha stesen minyak.

Terdahulu pada 3 Januari lalu tular satu hantaran pemilik akaun facebook SGRV Front Man yang mendakwa berlaku pengisian minyak RON95 dilakukan kenderaan bernombor pendaftaran asing dengan taktik dengan menggantikan nombor plat dengan plat yang kelihatan seperti kenderaan pendaftaran Malaysia bagi mengelak dikesan.