fb fb fb fb fb

 Kenderaan bermotor antara penyumbang pencemaran udara

FOTO JAS KEDAH

SUNGAI PETANI, 25 September- Kenderaan bermotor, dikenal pasti menjadi antara salah satu punca pencemaran udara terutama di kawasan perbandaran.
 
Justeru, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sentiasa komited untuk menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengawal punca-punca pencemaran udara dari pelbagai aktiviti.
 
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya komited untuk menangani isu pencemaran alam sekitar dan mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan aktiviti pencemaran alam sekitar.
 
Pada masa sama, beliau berharap semua pemilik kenderaan dapat memastikan kenderaan masing-masing mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dengan melakukan pemeriksaan secara berkala dan tidak melakukan ubahsuai yang boleh melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
 
Katanya, operasi penguatkuasaan yang diadakan di Jalan Lencongan Timur, Sungai Petani, semalam adalah satu usaha Jabatan Alam Sekitar bagi menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Dari Enjin Diesel) 1996.
 
Dalam operasi itu, sebanyak 30 buah kenderaan diesel telah diperiksa.
 
Daripada jumlah itu, tiga pemilik kenderaan telah dikenakan tindakan Notis Arahan di bawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan pemilik kenderaan tersebut diarah menjalankan ujian semula ke atas kenderaan masing-masing selepas diambil tindakan pembetulan.
 
Operasi Bersepadu Bersama JPJ dan PDRM seumpama ini akan dijalankan  berterusan bagi memastikan pematuhan ke atas peraturan-peraturan berkaitan dan seterusnya menjamin kualiti udara yang baik.
 
Laporan serta aduan pencemaran boleh dilakukan di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE