Kenaikan harga diesel: Kerajaan teliti kaedah salur bantuan kepada pemilik bot nelayan Zon C2

Foto RTM

KEMAMAN, 29 Mac – Kaedah terbaik sedang diteliti bagi membantu lebih 700 pemilik bot nelayan laut dalam kategori Zon C2 di seluruh negara susulan kenaikan harga diesel akibat konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nelayan Zon C2 tidak menikmati Skim Subsidi Diesel seperti Zon A, B dan C.
  • Kenaikan harga diesel meningkatkan kos operasi dan memberi tekanan kepada nelayan.
  • Mereka perlu membeli diesel pada harga industri RM5.52 seliter.
  • LKIM sedang meneliti kaedah terbaik selepas menerima rayuan nelayan Zon C2.

Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil, golongan berkenaan antara yang paling terkesan memandangkan mereka tidak menikmati Skim Subsidi Diesel seperti nelayan Zon A, B dan C yang menerima subsidi pada kadar RM1.65 seliter.

Muhammad Fadzil berkata, kenaikan harga bahan api itu telah meningkatkan kos operasi penangkapan hasil laut, sekali gus memberi tekanan kepada nelayan terlibat.

“Golongan nelayan Zon C2 ini perlu membeli diesel pada harga industri (RM5.52/seliter).

“Mereka telah mengemukakan rayuan dan kita sedang meneliti apa kaedah terbaik untuk membantu golongan tersebut,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Kemasik, di sini hari ini.

Turut diadakan, penyampaian sumbangan peralatan termasuk enjin sangkut dan jaket keselamatan kepada 31 nelayan daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemasik.

Tambah beliau, ketika ini terdapat kira-kira 733 bot nelayan kategori Zon C2 di seluruh negara yang melibatkan 9,598 orang nelayan.