
KUALA LUMPUR, 4 Mac- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan terus bertindak sebagai mediator atau pemudah cara bagi menangani isu sensitif agama untuk memelihara keharmonian masyarakat majmuk.
- KPN berperanan sebagai mediator untuk menangani isu sensitif agama bagi memelihara keharmonian masyarakat majmuk.
- Cadangan berkaitan hal ehwal agama perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri bagi memastikan keharmonian dan kesahihan tadbir urus.
- JK HARMONI dan e-RIBI digunakan untuk memupuk persefahaman, memantau dana rumah ibadat bukan Islam dan meningkatkan ketelusan.
Timbalan Menteri, R. Yuneswaran berkata pendekatan rundingan secara berhemah penting bagi memastikan isu-isu sensitif tidak menjadi polemik yang boleh menjejaskan perpaduan negara.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan sebarang cadangan berkaitan hal ehwal agama termasuk penubuhan lembaga wakaf bagi komuniti tertentu perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri masing-masing.
Jelas R. Yuneswaran, pembahagian kuasa itu penting bagi memastikan tadbir urus agama dilaksanakan secara sah, teratur dan selari Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Persekutuan menghormati kedaulatan negeri dalam urusan agama dan bersedia menyokong hasrat mana-mana negeri yang ingin menubuhkan lembaga berkaitan seperti yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang,” jelas beliau.
Bagi pengurusan rumah ibadat bukan Islam, R. Yuneswaran menjelaskan bahawa aspek pembinaan, pengubahsuaian dan pematuhan undang-undang adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Setiap pembinaan rumah ibadat tanpa mengira agama perlu mematuhi undang-undang sedia ada, termasuk mendapatkan kebenaran merancang daripada PBT, tanpa sebarang pengecualian,” katanya.
Beliau menambah kementerian turut menyelaras pengurusan dana rumah ibadat bukan Islam melalui Unit Penyelarasan Dana Rumah Ibadat Bukan Islam dan menggunakan sistem digital e-RIBI untuk memperkukuh pemantauan serta ketelusan.
R. Yuneswaran turut menekankan peranan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang dianggotai 25 tokoh pelbagai agama sebagai platform penting untuk meningkatkan persefahaman, memberi nasihat dasar dan menjadi mekanisme mediasi terhadap isu-isu agama yang sensitif.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.