JOHOR BAHRU, 21 April- Kementerian Komunikasi yakin, capaian internet 4G dan 5G di Greater Johor Bahru, berada pada prestasi baik, atas faktor kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan itu.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, perkara tersebut disokong dengan fakta, bahawa capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk seluruh negara, berada pada kadar 80 peratus.
"Jadi untuk Johor Bahru khasnya untuk Johor, kerana negeri ini tidak banyak kawasan yang tidak berpenduduk. Sekiranya ada, ia hanya sedikit jika dibandingken dengan Sabah dan Sarawak. Kawasan Johor, ia tidak ada kawasan yang tiada penduduk yang luas," katanya semasa menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Federasi Persatuan Tukang Emas dan Berlian Malaysia di Iskandar Puteri di sini.
Teo turut menyeru penduduk di Greater Johor Bahru, untuk menyalurkan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sekiranya terdapat titik buta capaian internet, bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Selain itu, kementerian itu yakin pelabur akan mula membawa pelaburan ke Greater Johor Bahru, pada tahun ini, susulan kehadiran ramai pelabur ke kawasan itu untuk menjalankan kajian.
Greater Johor Bahru merupakan lokasi strategik, menjadi pilihan pelabur antarabangsa, khususnya bagi penubuhan pusat data.
Antara lokasi yang terkenal dikalangan pelabur, adalah Sedenak Tech Park.