RAUB, 30 Oktober -Kementerian Komunikasi sedang meneliti mekanisme terbaik untuk mengawal selia permainan video dalam talian, khususnya melibatkan pengguna dalam kalangan kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sudah meminta agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti aplikasi-aplikasi yang dibimbangi boleh mendatangkan kemudaratan.
Katanya, mesyuarat telah diadakan bersama MCMC bagi membincangkan dan meneliti perkara itu, namun keputusan rasmi masih belum dapat diumumkan.
"Insya-Allah Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) akan mula berkuat kuasa awal tahun depan dan akta ini yang akan diguna pakai untuk memastikan platform media sosial dan penyedia perkhidmatan dalam talian perlu memastikan suasana keadaan ekosistem yang selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Raub Indah, di sini.
Sementara itu, pihaknya juga sedang melihat keperluan melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox.
"Pihak Roblox kita belum lagi berhasrat untuk melesenkan mereka tetapi kita sedang membuat pemantauan sama ada perlu dilesenkan ataupun tidak. Bukan hanya Roblox tetapi banyak permainan baru-baru ini. Ada senarai yang telah diterbitkan dalam media dalam tulisan ibu bapa. 10 bentuk permainan yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah usia 16 tahun, jadi kita sedang memantau meneliti apakah mekanisme kerangka kawal selia yang terbaik,"katanya.
Datuk Fahmi menjelaskan, pertemuan juga telah diadakan dengan wakil permainan Roblox, susulan insiden seorang kanak-kanak lelaki, enam tahun yang parah akibat dikelar dan ditikam abangnya yang berusia sembilan tahun di Kampung Parit Nipah Laut, Johor, selepas dipercayai terpengaruh dengan permainan video itu.
Tambah beliau, meskipun pihaknya tidak mengeluarkan larangan secara rasmi ke atas permainan tersebut, namun beliau menasihatkan ibu bapa supaya terus memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka.
