fb fb fb fb fb

Kementerian Komunikasi, KKM tingkat telekomunikasi di fasiliti kesihatan

Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengenal pasti fasiliti kesihatan yang masih berdepan masalah telekomunikasi dan talian internet / Foto Hiasan / Bernama

BERA, 13 Januari – Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengenal pasti fasiliti kesihatan yang masih berdepan masalah telekomunikasi dan talian internet.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata tujuh hospital utama telah disenarai pendek untuk proses menaik taraf sistem telekomunikasi demi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Antara hospital yang terlibat ialah Hospital Pulau Pinang, Hospital Cyberjaya, Hospital Tuanku Nurul Zahirah, Kuala Terengganu, Hospital Alor Gajah, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Rembau dan Hospital Tanah Merah.

“Kami akan bekerjasama dengan KKM kerana mereka adalah pemilik aset kawasan tersebut. Jika mereka merasakan internet tidak mencukupi, MCMC akan masuk dan mencari penyelesaian sama ada melalui peningkatan liputan kawasan atau pemasangan peralatan dalam bangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Pejabat Kesihatan Daerah Bera, di sini.

Di Parlimen Bera, sebanyak 17 daripada 29 fasiliti kesihatan yang mengalami masalah telekomunikasi telah berjaya diselesaikan melalui usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Antara langkah yang diambil ialah menggantikan talian tembaga (‘copper’) kepada sambungan gentian optik menggunakan teknologi ‘Voice Over Optic’.

Nie Ching menyeru fasiliti kesihatan yang berdepan masalah telekomunikasi untuk segera mengemukakan aduan kepada MCMC bagi mendapatkan penyelesaian yang sesuai.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN