fb fb fb fb fb

Kemalangan jalan raya di Sarawak meningkat 315 kes

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin mengagihkan topi keledar percuma kepada penduduk setempat

SIBU, 12 Januari - Statistik kemalangan jalan raya di Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak 315 kes bagi tempoh Januari hingga Disember 2024, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin.

Beliau berkata jumlah keseluruhan kes kemalangan meningkat daripada 21,418 kes pada 2023 kepada 21,733 kes pada tahun lalu.

Peningkatan ini disebabkan oleh pertambahan kes kemalangan yang hanya melibatkan kerosakan kenderaan, dengan peningkatan sebanyak 416 kes atau 2 peratus, daripada 20,563 kepada 20,979 kes.

Namun, beberapa kategori kemalangan mencatatkan penurunan.

"Kemalangan maut menurun sebanyak 16 kes, daripada 378 kepada 362 kes. Kemalangan parah pula berkurang sebanyak 13 kes, manakala kemalangan ringan menunjukkan penurunan terbesar sebanyak 72 kes, daripada 327 kepada 255 kes.

“Keselamatan semua pengguna jalan raya harus menjadi keutamaan, terutama ketika musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina. Semua pihak perlu meningkatkan kesedaran dan keprihatinan terhadap keselamatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya peringkat negeri sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Sarikei Innovation Center di sini, hari ini.

Kempen ini bertujuan mendidik pengguna jalan raya mengenai kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas dan berwaspada bagi mengurangkan risiko kemalangan, terutamanya di negeri Sarawak.

GRACE AISYAH KEDAYAN