fb fb fb fb fb

Kem Hos Muda ASEAN-China 2025: Perkukuh pertukaran budaya dan komunikasi belia serantau

Peserta Kem Hos Muda ASEAN–China 2025

GUILIN, 31 Mei - Pertukaran budaya dan komunikasi antarabangsa dalam kalangan belia terus diperkukuh menerusi Kem Hos Muda ASEAN–China 2025 yang kini memasuki edisi kelima.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Minggu Audio-Visual ASEAN-China, Lu Zhenning, pengamal media muda berpotensi meningkatkan kerjasama serantau dengan menyampaikan kisah kerjasama negara dua hala melalui pendekatan kreatif dan naratif visual.

"Kem ini mengukur kedalaman kerjasama ASEAN-China melalui lensa kamera dan menyampaikan kehangatan interaksi budaya menerusi suara anak muda,” katanya ketika berucap pada Sesi Perkongsian Kem Hos Muda ASEAN–China 2025 bertemakan ‘Jalur Sutera Baharu, Pertukaran Baharu, Audio-Visual Baharu’.

Tambahnya, kem ini menekankan penggunaan video pendek dan siaran langsung sebagai medium utama dalam merakam pencapaian di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

"Gabungan teknologi dan belia mampu menembusi batas bahasa dan budaya, sekali gus memperkukuh komunikasi antarabangsa serta menonjolkan kerjasama erat antara ASEAN dan China,” katanya lagi.

Kem yang berlangsung dari 23 hingga 29 Mei itu menghimpunkan 10 pengamal media muda dari lima negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Kemboja bagi menyertai penyelidikan lapangan di Shenzhen dan Guilin, China.

Ia berperanan sebagai ejen komunikasi rentas negara dengan menghasilkan kandungan video pendek di media sosial bagi mempromosikan sektor pelancongan dan pencapaian teknologi serta memberi tumpuan terhadap peluasan capaian media sosial sekali gus menjadikannya platform penting dalam membina jaringan profesional.

Program kali ini turut memberi fokus kepada inovasi sains, teknologi dan pelancongan budaya secara visual dengan lokasi utama yang diterokai termasuk Pameran Industri Budaya Antarabangsa (ICIF), Bangunan Tencent, Bukit Belalai Gajah, Gua Seruling Buluh dan Istana Jingjiang.

Mengulas prospek masa depan, Lu berkata kem ini akan diteruskan sebagai pentas pertukaran belia serantau dan pembinaan komuniti ASEAN–China yang berkongsi visi bersama.

Terdahulu, edisi 2024 telah berjaya dianjurkan di Kuantan dan Kuala Lumpur, Malaysia dengan liputan menyeluruh mengenai projek “Dua Negara, Dua Taman” yang menyumbang secara signifikan melibatkan pertukaran budaya dan ekonomi antara kedua-dua negara.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE