fb fb fb fb fb

Kem belia antarabangsa meriahkan tahun melawat Perlis

Kem Belia Antarabangsa Al Khaadem di Perlis menerima kehadiran 360 orang peserta dari 18 buah negara

ARAU, 22 Disember- Kem Belia Antarabangsa Al Khaadem di Perlis menerima kehadiran 360 orang peserta dari 18 buah negara sekali gus menghangatkan Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang bakal membuka tirai.

Antara negara yang menyertai kem yang dianjurkan oleh Pertubuhan Al Khaadem dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ialah Brunei, Australia, Mesir, Fiji, Arab Saudi, Papua New Guinea termasuk Malaysia.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyantuni para peserta di Pusat Islam Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis di Pauh Putra.

Presiden Pertubuhan Al Khaadem Datuk Sheikh Hussain Yee dalam sembah maklum kepada Tuanku Syed Faizuddin berkata, penganjuran kem belia ini adalah untuk menyemai adab dan nilai-nilai murni serta pengetahuan Islam.

"Kem itu mendapat penyertaan daripada peserta berusia antara 10 hingga 18 tahun. Ia juga akan menjadikan mereka lebih terhindar daripada segala pengaruh negatif, di samping menyemai nilai-nilai kekeluargaan dan membentuk watak anak muda menjadi anak yang soleh serta solehah.

"Pelbagai aktiviti fizikal yang menarik dan pengisian ilmu serta kerohanian yang dibuat sepanjang tempoh kem ini berlangsung di beberapa lokasi menarik di Perlis," kata Hussain Yee.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs menzahirkan rasa sukacita atas pemilihan negeri Perlis buat tahun kedua sebagai lokasi penganjuran kem tersebut.

Ia juga menunjukkan tanda sokongan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa khususnya menyambut baik kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI