
TUMPAT, 6 Mac – Kelantan FM meneruskan kesinambungan tradisi setiap kali Ramadan dengan menyantuni golongan kurang bernasib baik.
- Siri Ziarah Moreh Ramadan 2026 menyantuni lapan keluarga, fasa pertama melibatkan empat keluarga asnaf dan ibu tunggal.
- Program dilaksanakan bersama AKPK Kelantan, menyalurkan bantuan zakat serta barangan keperluan untuk meringankan beban keluarga.
- Program tahunan ini melibatkan agensi setempat dan pemimpin penyiaran, dengan fasa kedua dijadualkan di Kampung Tunjung pada 12 Mac.
Menerusi siri Ziarah Moreh Ramadan Kelantan FM 2026, seramai lapan keluarga disantuni.
Program yang memasuki tahun ketiga itu bermula dengan fasa pertama, melibatkan empat keluarga asnaf dan ibu tunggal sekitar Kampung Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu, Tumpat.
Program berkenaan dilaksanakan bersama rakan strategik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kelantan, dengan penyaluran bantuan bagi meringankan beban keluarga terlibat.
“Sasaran program ini dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama diadakan malam ini, melibatkan empat rumah, manakala fasa kedua dijadualkan pada 12 Mac di Kampung Tunjung, Kota Bharu bersama agensi lain,” jelas penerbit Ziarah Moreh Ramadan Kelantan FM.
Turut serta dalam ziarah tersebut ialah Pengarah Penyiaran Negeri, Ivan Toh serta Ketua Cawangan AKPK Kelantan, Siti Suhaila Ab Hamid.
Bantuan yang disampaikan merangkumi sumbangan zakat serta barangan keperluan sebagai persediaan Ramadan.
Ketua Cawangan AKPK Kelantan, Siti Suhaila Ab Hamid berkata, sebahagian daripada program CSR ini menunjukkan komitmen RTM Kelantan dalam meneruskan kolaborasi setiap tahun.
“Saya berharap program seperti ini akan terus berterusan bagi membantu golongan sasaran,” menurutnya.
Bagi salah seorang penerima bantuan, Ishak Kadir bantuan yang diterima memberi impak besar kepada mereka.
“Saya rasa gembira dan bersyukur. Terima kasih atas usaha pihak penganjur,” katanya.
Program Ziarah Moreh Ramadan merupakan aktiviti tahunan Kelantan FM sebagai sebahagian pengisian bagi menyantuni golongan sasaran sepanjang bulan Ramadan.