KUALA LUMPUR, 5 April- Kekerapan perkhidmatan KTM Komuter akan ditambah baik kepada setiap 15 minit pada waktu puncak bermula 22 April ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata penambahbaikan itu membabitkan laluan Tanjung Malim ke KL Sentral dan Kl Sentral ke Tanjung Malim.
Katanya, kekerapan itu ditambah baik bagi kemudahan penumpang terutamanya di waktu puncak.
"Jadi ini akan memudahkan perjalanan untuk pekerja-pekerja yang menggunakan KTM Komuter, di antara laluan KL Sentral dengan Tanjung Malim ini," katanya kepada pemberita selepas memberi pek cenderahati kepada para penumpang tren ETS dan KTM Komuter di Stesen KL Sentral hari ini.
Sementara itu, beliau berkata jumlah keseluruhan tiket perkhidmatan ETS termasuk tren tambahan bagi musim perayaan Aidilfitri kali ini adalah sebanyak 135,000 tiket.