KUALA NERUS, 22 Ogos-Terengganu FC (TFC) memulakan saingan Kumpulan A, ASEAN Club Championship (ACC) Piala Shopee 2024/25 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dengan langkah kiri apabila tumpas 2-3 kepada kelab Kemboja, Svay Rieng FC.
Pasukan pelawat bermula garang apabila melancarkan serangan seawal minit pertama untuk meledak gol pembukaan hasil tendangan leret penyerang import kelahiran Brazil, Gabriel Costa pada minit ke-12.
Nasib TFC terus malang apabila pasukan pelawat meledak gol kedua kali ini hasil rembatan penyerang import, Pablo Augusto yang sempat menyambar bola muntah diselamatkan penjaga gol, Suhaimi Husin.
Mendahului 2-0, skuad kendalian Jose Munoz itu semakin rancak melancarkan serangan bagi menyempurnakan misi membawa pulang tiga mata ke Kemboja.
Ketinggalan 2-0, skuad TFC mula bangkit mengatur kembali rentak permainan mereka dengan lebih tersusun pada babak kedua permainan dan berjaya menghasilkan gol pertama menerusi Manuel Ott pada minit ke-55 untuk merapatkan kedudukan 1-2.
Bagaimanapun, kegembiraan lebih 5,000 penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila Min Ratanak meledak gol ketiga Svay Rieng FC pada minit ke-86 untuk kembali menjarakkan kedudukan 3-1.
Pada minit ke-90, TFC berhasil menjaringkan gol kedua hasil sepakan percuma yang disempurnakan Safawi Rasid, namun gol tersebut tidak mampu menahan Svay Rieng FC untuk mengutip tiga mata berharga dengan keputusan 3-2.