
SERDANG, 19 Januari – Kejayaan Malaysia mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 tidak seharusnya melalaikan, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk membangunkan ekonomi negara.
- Menterjemahkan pengiktirafan antarabangsa kepada dasar jelas dan berkesan untuk pembangunan ekonomi negara.
- Memperkukuh kapasiti pengurusan ekonomi, perpaduan sosial, dan penguasaan teknologi baharu seperti AI.
- Menjaga keselamatan dan kestabilan negara untuk mengekalkan keyakinan serta penghormatan masyarakat antarabangsa.
- Pemimpin mesti memikul tanggungjawab dengan serius untuk elakkan perpecahan berasaskan parti, kaum atau negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pengiktirafan dunia tidak boleh bersifat simbolik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada dasar yang jelas dan berkesan.
“Kita tidak mahu mereka datang sekadar menyaksikan tarian yang hebat, sambutan yang meriah serta negeri yang bersih dan tersusun. Sebaliknya, kita mahu mereka turut melihat keupayaan kita mengurus ekonomi, memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat serta menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pusat data dan teknologi maklumat. Semua ini berkait rapat dengan keperluan kepada dasar yang jelas,” katanya.
Beliau menyampaiakan Amanat Penghargaan bersempena Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025, di sini, hari ini.
Tambah Datuk Seri Anwar, negara juga perlu kekal sebagai sebuah negara yang aman dan stabil bagi memastikan keyakinan serta penghormatan masyarakat antarabangsa terus terpelihara. Menurut beliau, perpecahan berasaskan parti, kaum atau negeri hanya akan melemahkan negara.
“Sehubungan itu, pimpinan perlu memikul amanah dan tanggungjawab itu dengan serius demi kepentingan bersama,” katanya lagi.
Tahun lalu, Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang diadakan di ibu negara.