Kehadiran gajah jadi tarikan utama Hari Terbuka Putrajaya 2026

Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perkhidmatan Korporat, Perbadanan Putrajaya, Haryani Kaulan

KUALA LUMPUR, 25 Januari – Kehadiran dua ekor gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah menjadi antara tarikan utama Hari Terbuka Putrajaya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kehadiran dua ekor gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah menjadi tarikan utama Hari Terbuka Putrajaya 2026.
  • Program melibatkan 488 reruai daripada agensi kerajaan, sektor swasta, syarikat telekomunikasi, perbankan dan usahawan tempatan.
  • Disediakan 14 zon utama dengan aktiviti interaktif, hiburan dan persembahan pentas untuk interaksi langsung pengunjung.
  • Menampilkan komponen Jom Masuk U bagi pendedahan laluan pendidikan dan kerjaya kepada golongan muda.

Program itu berlangsung sebagai platform sehenti yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik kepada orang ramai sepanjang empat hari penganjurannya.

Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perkhidmatan Korporat, Perbadanan Putrajaya, Haryani Kaulan berkata, penganjuran kali ini melibatkan penyertaan 488 reruai daripada agensi kerajaan, sektor swasta, syarikat telekomunikasi, perbankan serta usahawan tempatan.

“Program ini sinonim dengan slogan ‘Satu Destinasi, Pelbagai Solusi’ di mana orang ramai boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan dan penyelesaian terus daripada agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Program ini menyediakan 14 zon utama merangkumi aktiviti interaktif, hiburan serta persembahan pentas, sekali gus memberi peluang pengunjung berinteraksi secara langsung dengan agensi terlibat.

Tambah Haryani, penganjuran kali ke-5 ini mencerminkan komitmen berterusan Perbadanan Putrajaya dalam menyediakan platform sehenti perkhidmatan kepada orang ramai.

Hari Terbuka Putrajaya 2026 akan berlangsung dari 29 Januari hingga 1 Februari ini, bersempena sambutan ulang tahun penubuhan Perbadanan Putrajaya ke-30 serta Hari Wilayah Persekutuan.

Selain itu, elemen Tahun Melawat Malaysia 2026 turut diketengahkan bagi memperkukuh sektor pelancongan dan mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi pilihan pelawat tempatan dan antarabangsa.

Program ini turut memberi tumpuan kepada golongan muda menerusi komponen ‘Jom Masuk U’, yang menyediakan pendedahan awal berkaitan laluan pendidikan dan kerjaya masa hadapan.