fb fb fb fb fb

Kedutaan Malaysia di Bangkok bantu cari warga Sarawak yang hilang

Andy Jee Ying Kit, 30 dari Sarawak, dilaporkan tiba di Bangkok pada 8 Januari 2025

BANGKOK, 22 Januari- Kedutaan Malaysia di Bangkok sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand untuk mencari seorang lelaki Malaysia yang dilaporkan hilang sejak minggu lepas.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand Bong Yik Jui berkata beliau mengarahkan pasukannya untuk bekerjasama dengan keluarga individu yang hilang Andy Jee Ying Kit, 30 dari Sarawak, yang dilaporkan tiba di Bangkok pada 8 Januari.

"Pasukan konsulat telah menghubungi sepupu Andy, yang memberikan maklumat mengenai perjalanan beliau ke Bangkok pada 8 Januari berdasarkan maklumat yang diberikan oleh rakan Andy," kata Bong kepada Bernama ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata bahagian konsulat kedutaan memperoleh laporan polis orang hilang dan butiran pasport untuk membantu dalam pencarian.

Namun, Bong turut memaklumkan yang pihak berkuasa Thailand mungkin memerlukan masa tambahan untuk memeriksa rekod kemasukan beliau dan menyiasat kehilangan Andy jika beliau berada di Thailand berdasarkan maklumat yang diberikan oleh keluarganya.

Sebelum ini, sepupu Andy memuat naik hantaran di media sosial untuk meminta bantuan orang ramai selepas Andy gagal kembali bekerja selama dua hari selepas bercuti.

Menurut hantaran itu, Andy dijadualkan kembali bekerja di Singapura pada 15 Januari, tetapi talian telefon beliau telah diputuskan menyebabkan pencarian untuknya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE