TAPAH, 12 September - Juruterbang helikopter yang dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Dr. Wee Ka Siong menjelaskan petunjuk awal menunjukkan mangsa masih hidup di lokasi nahas apabila ditemui pada pukul 8:18 pagi.
"Ketika mangsa dijumpai masih lagi hidup namun dalam keadaan cedera parah dan tindakan yang diambil pasukan penyelamat adalah mengeluarkan mangsa dan dihantar ke hospital. Dalam perjalanan itu mangsa tidak sedarkan diri dan sampai di hospital mangsa meninggal dunia," katanya menerusi hantaran video di Facebooknya tengah hari ini.
Tambahnya, pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan SAR kini sedang menunggu pengesahan daripada hospital mengenai punca dan waktu kematian.
Beliau mewakili Kementerian Pengangkutan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa juruterbang tersebut.
Wee Ka Siong turut memaklumkan telah menghubungi Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri mengenai perkara tersebut.
" Apabila mesej yang kita terima dari CAAM... memang 8:18 mangsa tersebut masih lagi hidup tetapi dalam keadaan kecederaan yang parah dan dalam proses menyelamatkan mangsa telah berlakunya perkara beliau tidak sedarkan diri.
"Kita rasa ini satu perkara yang amat malang sekali dan saya akan melakukan tindakan termasuk mengarahkan satu laporan lengkap setelah CAAM memuktamadkan semua kerja-kerja SAR (mencari dan menyelamat)," tambahnya.
Semalam, Wee Ka Siong berkata pesawat itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.
Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.
Berita Berkaitan: Helikopter dikhuatiri hilang di kawasan hutan Bidor, Perak