fb fb fb fb fb

Kebolehpasaran graduan: UUM sasar 95 peratus

UUM menetapkan sasaran kebolehpasaran graduan pada tahun ini menyamai rekod pencapaian tahun 2023 iaitu 95%, yang merupakan kadar tertinggi setakat ini. / Foto UUM

ALOR SETAR, 6 November – Universiti Utara Malaysia (UUM) menetapkan sasaran kebolehpasaran graduan (GE) bagi 2024 pada kadar 95 peratus menyamai pencapaian pada tahun 2023, yang setakat ini merupakan rekod tertinggi untuk UUM bagi kebolehpasaran graduan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, sasaran itu ditetapkan berasas kepada soal selidik Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang mendapati seramai 324 daripada 6,144 graduan yang telah menjawab SKPG, memperoleh gaji premium permulaan sekurang-kurangnya, RM4,000.

Menurutnya, jumlah graduan UUM yang mendapat gaji premium dan memperoleh pendapatan tinggi, didapati semakin meningkat setiap tahun dan dilihat sebagai satu prestasi yang baik.

Antara graduan yang menerima gaji melebihi RM10,000 itu adalah Puteri Saidatul Azwa Tun Ali yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Pendidikan Pengurusan Perniagaan.

Beliau merupakan seorang usahawan yang memulakan perniagaan fotografi dan videografi untuk majlis perkahwinan serta mengasaskan syarikat Ptryali Studio.

Seorang lagi graduan UUM yang memperoleh pendapatan melebihi RM10,000 adalah Muhammad Khairulnajmi Zakaria yang kini Ketua Agensi Takaful Insurans.

Dia yang berusia 24 tahun, mengikuti pengajian Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dan berasal dari Felda Neram 1, Kemaman, Terengganu.

“SKPG merupakan soal selidik yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi terhadap graduan institusi pengajian tinggi di negara ini untuk mendapatkan data seperti status pekerjaan terkini serta maklumat lain. Hingga 3 November lalu, 6,144 graduan UUM telah menjawab soal selidik tersebut secara dalam talian.

"UUM menetapkan setiap graduan perlu menjawab SKPG sebelum mengambil jubah untuk majlis konvokesyen. Menerusi SKPG itu, 9 graduan Sarjana Muda UUM didapati menerima pendapatan melebih RM10,000 sebulan walaupun belum menaiki pentas majlis konvokesyen,” jelas Dr. Mohd Foad pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen ke-37.

Majlis Konvokesyen ke-37 UUM akan berlangsung pada 10 hingga 14 November ini melibatkan 6,742 graduan yang akan menerima ijazah masing-masing menerusi sembilan sesi sepanjang tempoh tersebut.

Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah selaku Tuanku Canselor UUM berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah kepada graduan terlibat.

Majlis konvokesyen ke-37 ini melibatkan 6,330 graduan tempatan dan 412 lagi merupakan graduan antarabangsa seperti Indonesia, China, Somalia, Arab Saudi dan Palestin.
Daripada jumlah keseluruhan 6,742 graduan itu, seramai 5,539 terdiri daripada graduan Sarjana Muda, 1,126 graduan pascasiswazah iaitu Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana, manakala 77 graduan lagi lulusan Diploma Eksekutif.

Seramai 1,681 daripada 5,539 graduan Sarjana Muda merupakan graduan ijazah kelas pertama.

Graduan Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan Dengan Kepujian, Muhammad Shuib Rosli berusia 23 tahun dan graduan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa Dengan Kepujian, Emina Kulasic Bong Ei Min, 24 tahun berjaya merangkul Anugerah Pelajaran DiRaja dan kedua-duanya akan menerima hadiah wang tunai RM7,500 bersama sijil.

Pingat Emas Canselor untuk majlis konvokesyen kali ini pula, dikurniakan kepada graduan Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Dengan Kepujian, Nur Eina Athirah Norazman, 23 tahun yang dihadiahkan wang tunai RM4,000 bersama sijil.

Majlis konvokesyen kali ini turut disertai 30 graduan sulung bagi tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Golf) Dengan Kepujian melibatkan 21 graduan, Sarjana Sains (Penyelidikan Operasi dan Analitik) seramai lapan orang dan Doktor Pendidikan (1 graduan).

Selain itu, bagi memeriahkan lagi majlis tahun ini, UUM turut menganjurkan Pesta Konvokesyen atau PESKON37 bermula 8 hingga 16 November dengan tema “Alumni Gemilang” yang dijangka dihadiri 18,000 pengunjung.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan PESKON37 yang padat dengan pelbagai aktiviti seperti pameran, bengkel, forum, aktiviti interaktif merangkumi Literasi Kewangan dan Teknologi, Sukan dan Rekreasi serta Kerjaya dan Keusahawanan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD