
SUNGAI PETANI, 23 Februari – Kebocoran paip bawah tanah dikenal pasti menjadi punca utama gangguan bekalan air yang menjejaskan sebahagian penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Flat Paya Nahu, di sini.
- Kebocoran paip bawah tanah dikesan antara empat hingga enam lokasi sekitar PPR Flat Paya Nahu menyebabkan gangguan bekalan air.
- Peruntukan kecemasan hampir RM50,000 diluluskan untuk pembaikan dan penggantian paip yang bocor.
- Penduduk dinasihatkan tidak mengorek atau mengubah struktur; pemantauan dan saluran aduan disediakan oleh Bahagian Perumahan.
Isu berkenaan sebelum ini dilaporkan menerusi Berita Wilayah RTM susulan aduan penduduk yang terjejas.
Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dalam kenyataan kepada RTM memaklumkan, tindakan segera diambil bagi menyiasat aduan tersebut.
“Hasil pemeriksaan pasukan teknikal kejuruteraan pagi tadi mendapati terdapat antara empat hingga enam kebocoran paip bawah tanah di sekitar kawasan flat berkenaan.
“Keadaan itu menyebabkan air tidak dapat disalurkan ke rumah pam dan tangki yang terletak di bahagian atas blok bangunan, sekali gus mengakibatkan penduduk di Blok A-17 hingga A-22 terputus bekalan air.
“Sehubungan itu, peruntukan kecemasan segera berjumlah hampir RM50,000 diluluskan bagi kerja-kerja membaik pulih dan penggantian paip yang bocor,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, penduduk dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri seperti mengorek lubang atau melakukan sebarang pengubahsuaian struktur yang boleh mendatangkan risiko.
Ini susulan penemuan satu lubang sedalam kira-kira tujuh meter di tepi bangunan flat berkenaan yang dipercayai dikorek oleh penduduk.
Sebarang aduan lanjut boleh disalurkan terus kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah untuk tindakan susulan.
Pemantauan berterusan turut dilaksanakan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kawasan lain yang terjejas.
Terdahulu, pada Ahad, ADUN Sidam, Bau Wong Bau Ek memaklumkan pihaknya menerima aduan gangguan bekalan air melibatkan Blok A-18 hingga A-22, yang disifatkan membebankan penduduk terutama menjelang Ramadan.