
NIBONG TEBAL, 9 Februari – Kebakaran sisa pepejal di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung berjaya dipadam sepenuhnya awal pagi tadi.
- Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 5.51 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
- Kebakaran dikawal pada 10.13 malam dan dipadam sepenuhnya pada 10.29 malam.
- Kerja pemadaman melibatkan dua jentera jengkaut untuk memunggar sisa dan bina fire break.
- Tiada mangsa dilaporkan; 25 anggota bomba dan agensi lain digerakkan ke lokasi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang memaklumkan operasi ditamatkan pada pukul 5.51 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis, kebakaran melibatkan sisa pepejal di fasa tiga tapak pelupusan dengan anggaran keluasan kawasan terjejas sekitar 0.23 ekar, bersamaan 0.72 peratus daripada keseluruhan 32 ekar kawasan berkenaan.
Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 10.13 malam dan dipadam sepenuhnya pada pukul 10.29 malam sebelum kerja ‘overhaul’ diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Operasi pemadaman melibatkan kerja memunggar sisa pepejal menggunakan dua jentera jengkaut bagi membolehkan pemadaman dilakukan secara langsung serta pembinaan ‘fire break’ untuk menghalang api daripada merebak.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.13 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal tiba di lokasi lapan minit kemudian.
Seramai 25 anggota termasuk Ketua Balai digerakkan dengan bantuan BBP Sungai Bakap, BBP Bayan Baru dan BBP Penanti.
Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela serta agensi luar termasuk Polis Diraja Malaysia dan Majlis Bandaraya Seberang Perai.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Tapak pelupusan itu sebelum ini pernah terbakar pada September tahun lalu melibatkan kira-kira 0.6 ekar kawasan.
Pada Januari 2022, kebakaran besar melibatkan lebih 8,000 meter persegi menyebabkan kawasan berkenaan diisytiharkan Zon Bencana Tahap 1 oleh Majlis Keselamatan Negara.