fb fb fb fb fb

Kebakaran Putra Heights: 10 van disediakan untuk hantar murid ke sekolah

Exco Agama Islam Selangor, Dr Fahmi Ngah/ BERNAMA

SUBANG JAYA, 6 April- Kerajaan Negeri, melalui kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), akan menyediakan 10 buah van untuk menghantar 196 pelajar dari 34 buah sekolah yang terjejas, bagi memulakan sesi persekolahan, esok.

Exco Agama Islam Selangor, Dr Fahmi Ngah memaklumkan, inisiatif itu bertujuan memastikan anak-anak yang terkesan dapat kembali ke sekolah dengan selamat dan lancar.

Beliau memaklumkan bahawa peralatan sekolah seperti beg, baju dan kasut telah diserahkan kepada pelajar-pelajar berkenaan bagi memastikan kelengkapan mereka mencukupi.

"Untuk anak-anak yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) ini yang wajib memulakan persekolahan esok, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga telah menitahkan agar diberikan bantuan peralatan sekolah seperti baju, alat beg sekolah, kasut dan sebagainya telah mula diberikan semalam dan hari ini kepada semua anak-anak yang terjejas oleh Yayasan Islam Darul Ehsan.

"Serahan telah dibuat, dan esok, bila sekolah bermula, kenderaan telah dibekalkan. Prasarana telah bersetuju lebih kurang 10 van untuk membawa anak-anak ini ke sekolah. Tadi pun anak-anak ini kita akan pastikan pergi sekolah dengan adanya seorang sukarelawan yang sah, untuk pastikan mereka naik dalam kenderaan yang disediakan", katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke PPS Masjid Putra Heights.

Sementara itu, meskipun berdepan ujian kehilangan tempat tinggal dan kini berlindung di PPS Masjid Putra Heights, ibu bapa murid terjejas tetap mementingkan pendidikan anak-anak dan mahu mereka kembali ke sekolah seperti biasa.

Hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan dan sukarelawan, semua kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, beg sekolah dan alat tulis telah disalurkan kepada murid-murid yang terjejas.

"Saya telah menerima peralatan sekolah, baju dah diberi oleh pihak yang berkenaan, kasut dan cuma buku diharap pihak sekolah beri kelonggaran, tetapi sekolah faham", kata ibu tiga anak, Norliza Wati Mohd Nasir.

"Saya pesan pada anak pergi sekolah macam biasa, pakai baju biasa pakai selipar dulu. Di PPS ini kenderaan disediakan, boleh pergi sekolah seperti biasa", kata ibu dua anak Zuraidah Zabidin. 

Ketika ini, seramai 377 penduduk yang terjejas dari 97 keluarga ditempatkan di PPS Masjid Putra Heights.

 

ROSLINA BINTI DIN