fb fb fb fb fb

Kebakaran paip gas: Laporan penuh dijangka dibentang Mei nanti - Amirudin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah)/BERNAMA

SUBANG JAYA, 11 April- Laporan penuh berkaitan siasatan kes kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dijangka bakal dibentangkan pada pertengahan Mei ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor keselamatan kawasan letupan.

"Siasatan teknikal belum berjalan sepenuhnya, hanya berjalan di atas papan putih (dashboard) dan beberapa laporan kertas. Ia belum berjalan di lapangan kerana tapak itu belum lagi stabil.

Jadi, selepas penstabilan tapak dilakukan, barulah unit teknikal akan digerakkan membabitkan semua unit CIDB, DOSH, JKKP, JKR, JPS termasuk PETRONAS akan melakukan siasatan lanjut," kata Datuk Amirudin kepada pemberita, hari ini.

Jelas Amirudin, siasatan itu dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengesahkan sama ada terdapat unsur jenayah dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, 396 ketua isi rumah yang terbabit kebakaran paip gas di Putra Heights dikenal pasti layak menerima bantuan kewangan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Jumlah berkenaan diperoleh setelah proses semak silang dilakukan oleh pelbagai pihak.

Datuk Seri Amiruddin memaklumkan, kerajaan Selangor dijangka mula menawarkan rumah di bawah program seliaannya dengan sifar deposit kepada mangsa yang kurang berkemampuan pada Selasa depan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan 1,402 anggota dan sukarelawan terlibat dalam proses pembersihan mega di Putra Heights bermula esok dan Ahad.

Dua kawasan perumahan yang diberi tumpuan meliputi Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.

Tegas Datuk Seri Amirudin, menerusi kerja-kerja pembersihan itu, penduduk dapat kembali ke rumah yang disahkan selamat dengan lebih cepat dan pantas.

Setakat ini, sebanyak 100 tan sampah dikeluarkan dari kawasan perumahan terjejas melibatkan sampah domestik dan pukal.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM