fb fb fb fb fb

Stor perubatan farmasi Hospital Papar musnah terbakar

Kebakaran yang berlaku di bangunan Hospital Papar malam tadi/RTM

PAPAR, 12 November- Stor perubatan farmasi Hospital Papar musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi, mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian tersebut.

Kebakaran itu turut menyebabkan Bilik Makmal Kajian Hospital terkesan akibat bahang api.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sekitar pukul 7.02 malam.

Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, dengan bantuan lima anggota dari BBP Kimanis, segera dikerahkan ke lokasi kejadian yang berjarak kira-kira empat kilometer dari BBP Papar.

Operasi pemadaman diketuai oleh Ketua BBP Papar, Rozlan Osman.

Api berjaya dikawal daripada merebak dan dipadam sepenuhnya sekitar pukul 8.46 malam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden terbabit.

SITI AISHAH MD ISA