
IPOH, 13 Mac – Kerajaan Negeri Perak memberikan jaminan bahawa kebajikan tiga ekor gajah dari Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) yang dihantar ke Jepun sentiasa dipantau secara rapi.
- Perpindahan tiga gajah (Dara, Amoi, Kelat) diselaraskan oleh Perhilitan ke Tennoji Zoo, Osaka.
- Perancangan dan penilaian teknikal bermula 2022 untuk memastikan fasiliti di Jepun memenuhi piawaian habitat yang sesuai.
- ZTNS akan mengadakan lawatan ke Jepun pada April; MoU bakal dimeterai untuk pertukaran haiwan di masa hadapan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching, memaklumkan bahawa proses penghantaran gajah yang dikenali sebagai Dara, Amoi, dan Kelat ke Tennoji Zoo di Osaka itu telah diselaraskan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Menurut beliau, perancangan strategik ini merupakan hasil perbincangan mendalam serta penilaian teknikal yang telah dimulakan sejak tahun 2022 bagi memastikan fasiliti di Jepun memenuhi piawaian kesesuaian habitat.
“Pihak Perhilitan telah menjalankan beberapa siri lawatan ke Zoo Osaka bagi membuat penilaian menyeluruh. Kita ingin memastikan ruang dan persekitaran yang disediakan adalah bersesuaian dengan keperluan spesies berkenaan sebelum proses pemindahan dilaksanakan,” jelas beliau semasa ditemui pada Majlis Edaran Bubur Lambuk Iftar Ramadan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Meru.
Sebagai langkah susulan, pihak pengurusan ZTNS dijadualkan mengadakan lawatan ke Jepun pada April depan untuk meninjau keadaan semasa gajah-gajah tersebut.
Selain itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) bakal dimeterai yang membolehkan ZTNS menerima pertukaran haiwan daripada Tennoji Zoo pada masa hadapan.