fb fb fb fb fb

KDN telah luluskan hampir 14,000 permohonan kewarganegaraan

Foto Fail

GUA MUSANG, 15 Ogos- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah meluluskan hampir 14,000 permohonan kewarganegaraan melibatkan kategori anak tidak sah taraf, anak jagaan dan anak angkat di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sejak 2013.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah tersebut dianggarkan sebanyak 75 peratus permohonan bagi ketiga-tiga kategori itu yang sudah diluluskan oleh kerajaan.

Menurutnya, bagaimanapun secara kasarnya masih banyak lagi permohonan yang masih belum diselesaikan bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

"Bakinya daripada 15 (2), macam yang 'family frontiers' yang perjuangkanlah. Mak warga Malaysia, anak lahir luar negara kerana suami warga asing. Jadi, itu sementara kita nak pinda Perlembagaan, membolehkan anak-anak ini dapat secara automatik atau kuat kuasa undang-undang."

"Sekarang ini, bukan maksud permohonan itu kita tidak proses. Kita proses di bawah 15(2). Yang kedua, adalah isteri warga asing berkahwin dengan suami warga tempatan. Mereka ini juga setelah tujuh tahun boleh memohon untuk menjadi warganegara," kata Saifuddin kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra di Pejabat PKR di Gua Musang, Kelantan hari ini.

Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan permohonan kewarganegaraan itu, hampir 14,000 pemohon yang sudah mendapat status warganegara yang terdiri daripada anak tidak sah taraf, anak jagaan dan anak angkat.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu berkata permohonan yang sudah diluluskan melibatkan dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan MyKad.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM