fb fb fb fb fb

KDN sedang teliti 73 kesalahan dalam SOSMA

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Mac- Kementerian Dalam Negeri sedang meneliti 73 kesalahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi tujuan semakan semula.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu dilaksana selaras dengan keputusan jemaah menteri yang mengarahkan kementerian itu melakukan semakan semula terhadap akta tersebut baru-baru ini.

Menurut Saifuddin, pihaknya komited mengkaji semula Seksyen 30 SOSMA menerusi beberapa sesi libat urus kementerian itu.

"Kita sekarang sedang meneliti 73 kesalahan itu dan apakah sejumlah kesalahan yang akan kita cadangkan boleh diikat jamin dengan memulangkan kuasa itu kepada mahkamah. Ini satu anjakan penting buat kita dan pemegang taruh lain.

"Kedua, Seksyen 30 SOSMA yang mengatakan selama kamu ditahan melepasi 28 hari, dituduh ke mahkamah dan dibicara di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Sehingga proses itu selesai, seorang yang ditahan itu tetap berada dalam tahanan.

"Seksyen ini juga seksyen melalui libat urus kita dan menunjukkan banyak pandangan mengatakan bahawa ada kewajaran sekiranya kerajaan ini mahu menunjukan serius menterjemahkan pembaharuan agenda," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada pada majlis iftar bersama pengamal media di sini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI