PUTRAJAYA, 12 November -Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan empat resolusi utama berkaitan kecerdasan buatan (AI) sebagai asas kepada perancangan dan pelaksanaan agenda keselamatan masa depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, resolusi berkenaan menumpukan kepada pembangunan modal insan sebagai elemen penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan kementerian terhadap perubahan teknologi.
“Sebahagian daripada resolusi itu menekankan persiapan pegawai KDN dalam dua perkara iaitu
pertama, penguasaan pengetahuan asas tentang AI dan kedua, kemahiran dalam aspek AI generatif yang berkaitan aplikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium Kecerdasan Buatan (AI) Transformasi Keselamatan 2025, di sini, hari ini.
Menurutnya, perkembangan pesat teknologi AI perlu dilihat sebagai “generational opportunity” yang mesti dimanfaatkan segera agar Malaysia tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital global.
Datuk Seri Saifuddin menjelaskan, fokus utama KDN bukan untuk bersaing dalam pembangunan teknologi secara mendalam, sebaliknya menerapkan penggunaan aplikasi sedia ada bagi penyelesaian masalah dan peningkatan kecekapan.
“Saya tidak menekankan penguasaan teknologi secara mendalam, tetapi kefahaman terhadap teknologi itu sendiri.
Negara besar seperti Amerika Syarikat dan China mungkin mendahului, tetapi teknologi itu telah tersedia dan kita hanya tertinggal sedikit dalam penerapannya,” ujarnya.
Tambah beliau, pelaksanaan empat resolusi AI itu akan menjadi panduan strategik KDN untuk mempertingkat kecekapan operasi, keselamatan serta kualiti perkhidmatan kepada rakyat.