Kuala Lumpur, 9 Disember - Garis panduan penggunaan teknologi kecerdasan buatan generatif (KBG) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), telah dibangunkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan diedarkan kepada semua universiti awam, sejak tahun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata usaha berkenaan digerakan menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Majlis Kerjasama Ketua-ketua Pusat Pengajaran dan Pembelajaran IPTA Malaysia (MAGNETIC) serta Majlis Ketua-ketua e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA)
Garis panduan tersebut dijadikan rujukan utama dalam memastikan teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan secara beretika, terkawal dan berkesan.
"Namun begitu kebergantungan yang tinggi atau tidak terkawal dalam penggunaan aplikasi KBG ini boleh mengundang beberapa risiko.
Sehubungan itu garis panduan ini disediakan bagi membantu pemegang taruh untuk mengoptimumkan proses pengaplikasian KBG dalam PDP selari dengan hasrat KPT untuk melestarikan penggunaan teknologi baharu, katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan yang ingin tahu langkah yang telah dan akan diambil Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memastikan wujudnya keseimbangan dan kesepaduan antara penguasaan teknikal dalam kemahiran berteknologi tinggi, termasuk manfaat AI.
Ini menerusi penguasaan ilmu berkaitan nilai, adab, dan etika manusia, serta memastikan bahawa nilai dan budaya setempat tidak terabai memandangkan setakat ini tiada mekanisme kawalan AI dari segi nilai, sama ada nilai agama mahupun nilai sosiobudaya.
Menurut Datuk Mustapha, garis panduan berkenaan juga berperanan memastikan semua pemegang taruh di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dapat memanfaatkan teknologi KBG secara bertanggungjawab dalam sistem pendidikan tinggi negara.