fb fb fb fb fb

Kastam rampas rokok seludup bernilai lebih RM207,000

Foto RTM

KUALA BESUT, 25 September - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 343,400 batang rokok pelbagai jenama pada 19 September lalu.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan dibuat di sebuah rumah tidak bernombor dan di dalam dua buah kereta di Kampung Pak Mentosa, Kuala Besut, Terengganu.

Ia membabitkan nilai keseluruhan rampasan lebih RM207,000 termasuk cukai.

Serbuan pukul 11.30 pagi itu menemukan 268,400 batang rokok seludup di dalam rumah berkenaan.

Sementara itu, 43,400 batang rokok turut ditemui di dalam sebuah kenderaan pertama yang diletakkan di sekitar rumah terbabit.

Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan kedua pula menemui dan merampas 31,600 batang rokok.

Siasatan awal mendapati, penyeludup membawa masuk rokok tersebut dari negara jiran melalui sungai atau laut.

Rokok terbabit kemudiannya diangkut menggunakan sampan atau bot sebelum dibawa dengan kenderaan darat untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967.

Trainee