Kasih Ramadan: JPKKP santuni 100 asnaf dan warga emas

Pengerusi JPKKP Kampung Bangsal Lebah, Norhayati Hashim (kiri) menyampaikan sumbangan bakul makanan barangan keperluan asas kepada penerima/RTM

KAYANG, 20 Februari – Seramai 100 asnaf dan warga emas menerima sumbangan bakul makanan barangan keperluan asas bersempena Program Kasih Ramadan Kampung Bangsal Lebah, di sini, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program inisiatif JPKKP Kampung Bangsal Lebah menyantuni golongan kurang berkemampuan sepanjang Ramadan.
  • Acara tahunan bertujuan memperkukuh hubungan komuniti melalui tanggungjawab sosial dan nilai kasih sayang.
  • Menjadi simbol sokongan kepada asnaf dan warga emas supaya dapat berpuasa dengan kesyukuran dan keceriaan.
  • Sumbangan diserahkan melalui ziarah rumah ke rumah bagi memastikan penerima terus dibantu.

Program itu merupakan inisiatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bangsal Lebah sebagai usaha menyantuni golongan kurang berkemampuan sepanjang Ramadan.

Menurut pengerusinya, Norhayati Hashim, program berkenaan merupakan acara tahunan setiap kali Ramadan bagi memperkukuh hubungan dengan komuniti menerusi inisiatif tanggungjawab sosial yang menyemai nilai kasih sayang dan keprihatinan.

”Program Kasih Ramadan menjadi simbol usaha menyantuni golongan kurang berkemampuan dan warga emas dengan berkongsi rezeki agar mereka dapat melaksanakan ibadah puasa dengan penuh kesyukuran dan keceriaan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Tambahnya lagi, inisiatif itu turut mencerminkan semangat kebersamaan serta komitmen JPKKP terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.

Sumbangan diserahkan secara terus kepada penerima menerusi kaedah ziarah dari rumah ke rumah.