KANGAR, 15 April-Karnival MARA Raya@ Jom Serbu The Store Kangar yang berlangsung selama 10 hari bermula 31 Mac sehingga 9 April lalu berjaya mencatat nilai jualan hampir RM1 juta
Karnival berkenaan melibatkan penyertaan seramai 50 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dibawah MARA Perlis yang memasarkan pelbagai produk seperti pakaian, biskut dan kek serta aksesori Aidilfitri.
Menurut Pengarah MARA Negeri, Mohd Azam Jamaluddin dalam kenyataannya, pelaksanaan karnival sempena Aidilfitri ini dalam usaha pihaknya membangunkan komuniti usahawan tempatan dalam menyokong amalan pembelian produk keluaran tempatan untuk diketengahkan.
Pelaksanaan Karnival MARA Raya juga bagi membantu usahawan IKS menjana pendapatan tambahan selain membuka ruang kepada masyarakat Islam mendapatkan keperluan Aidilfitri dari pengusaha tempatan.
Selain itu, program ini juga bagi mempromosikan premis perniagaan di bawah MARA khususnya MARA Perlis yang telah dipilih sebagai hub pelancongan negeri Perlis bersempena Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Berikutan sambutan cukup memberangsangkan dari komuniti usahawan dan masyarakat setempat, program ini akan menjadi program tahunan di masa akan datang bagi membantu membangunkan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan dalam pelbagai bidang perniagaan.