fb fb fb fb fb

Karnival Kerjaya EmpowerHer fokus pekerjaan dengan aturan kerja anjal

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (tiga, kiri) pada Pelancaran Karnival Kerjaya EmpowerHer di ibu negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Penyediaan peluang pekerjaan dengan susunan aturan kerja anjal (FWA) menjadi antara fokus utama Karnival Kerjaya EmpowerHer dalam usaha menyokong penyertaan wanita dalam dunia kerjaya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata program anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu sejajar dengan tekad kerajaan untuk mewujudkan tempat kerja yang lebih inklusif dan seimbang, sekali gus merancakkan pasaran buruh negara.

Jelasnya, karnival tersebut memberi pendedahan kepada wanita mengenai fleksibiliti dalam waktu bekerja, membolehkan mereka menyesuaikan jadual kerja mengikut keperluan dan situasi peribadi tanpa menjejaskan prestasi.

“Kita mahu mengiktiraf wanita dan memberi ruang kepada mereka untuk mendapatkan pekerjaan serta meningkatkan penyertaan tenaga wanita dalam sektor tertentu.

"Jika kita melihat kepada angka pencarum wanita, jumlahnya meningkat dari 3.17 juta pada 2021 kepada 3.2 juta pada 2022, seterusnya kepada 3.33 juta pada 2023 dan meningkat lagi kepada 3.37 juta pada tahun lalu. Ini menunjukkan bahawa semakin ramai wanita mendapat pekerjaan dan mencarum melalui pekerjaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Karnival Kerjaya EmpowerHer di ibu negara.

Secara keseluruhan, dari tahun 2020 hingga 28 Februari tahun ini, seramai 578,491 wanita berjaya mendapat pekerjaan menerusi perkhidmatan MYFutureJobs.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN