fb fb fb fb fb

Karnival Jualan Agro MADANI Mega Peringkat Negeri Perlis sasar nilai jualan RM750,000

FOTO FAMA PERLIS

KANGAR, 2 Jun- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis akan menganjurkan Karnival Jualan Agro MADANI Mega Peringkat Negeri Perlis.
 
Program dijangka berlangsung pada 12 hingga 14 Julai depan di Dataran Bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis
 
Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan dalam kenyataannya memaklumkan, program tersebut hasil gabungan Santai Agropreneur Muda dan Road to MAHA 2024 yang akan berlangsung pada bulan September 2024 dan menjadi  lokasi kedua penganjurannya selepas Tawau, Sabah.
 
Karnival melibatkan lima kluster jualan dengan penyertaan 90 usahawan iaitu Jualan Agro Madani, Jualan Produk Industri Makanan dan Asas Tani, Makanan Popular, Florikultur dan Jualan Trak Makanan serta Karavan.
 
FAMA Perlis menyasarkan nilai jualan mencecah RM750,000 dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari karnival berlangsung dengan pelbagai jualan istimewa termasuklah 5,000 kampit beras putih tempatan, 1,000 ekor ayam segar, 2,000 papan telur ayam, 2,000 set kombo Madani dan 10 tan metrik buah-buahan segar.
 
Selain aktiviti jualan, turut akan berlangsung Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan, FAMARUN, e-sukan, seminar usahawan, persembahan artis tempatan, sukan rakyat dan pertandingan Mr Badang.
 
Sejak Januari sehingga 31 Mei 2024, FAMA Perlis telah melaksanakan 142 Program Jualan Agro Madani seluruh Perlis dengan nilai jualan mencecah RM1.239 juta, melibatkan 1,015 usahawan yang memberi manfaat kepada 25,000 penduduk di Perlis.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE