SHAH ALAM, 19 April- Takungan air di semua tujuh empangan di Selangor dilaporkan berada pada kapasiti baik iaitu melebihi 73 peratus setakat semalam.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan jangka hayat kapasiti keseluruhan empangan juga boleh bertahan sekitar dua hingga enam bulan tanpa hujan.
"Selain itu, kapasiti kolam sumber air alternatif 34 meter padu yang melibatkan 100 kolam takungan juga boleh bertahan sekitar tiga bulan sekiranya tiada hujan.
"Keseluruhannya, tempoh ketahanan sumber air mentah di Selangor adalah sekitar sembilan bulan tanpa hujan," menurut hantaran itu.
Menurut LUAS, paras aliran sungai semasa di seluruh 34 muka sauk loji rawatan air (LRA) di seluruh negeri juga berada pada paras normal.
Pembangunan kolam takungan air serta sumber air mentah menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) turut membantu meningkatkan rizab simpanan air mentah daripada enam bulan kepada sekurang-kurangnya sembilan bulan simpanan.