fb fb fb fb fb

Kapal misi GSF masuki zon merah esok

Kapal GSF kini memasuki zon kuning kedua. Foto AFP

SEPANG, 30 September – Kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza kini memasuki zon kuning kedua dan dijangka memasuki zon merah seawal pukul 7 malam esok.

Menurut Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby, keadaan cuaca setakat ini baik dan semua kapal berada pada kelajuan konsisten menuju ke zon kritikal.

“Untuk sampai ke zon merah ia tertakluk kepada kelajuan dan juga kepada cuaca. Jadi keadaan di sana sangat baik dan saya boleh katakan di sini kelajuan sekarang ini yang paling depan pun 4.9 knot, maksudnya mereka duduk di atas jangkaan yang baik.

"Jadi Khamis itu (memasuki zon merah) adalah jangkaan kita,” katanya dalam Sidang Media Sumud Nusantara di Pusat Gerakan Sumud Nusantara di sini.

Menurut SNCC, kapal GSF kini berada pada sekitar 227 batu nautika dari pesisiran pantai Gaza dengan semua 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi itu dilaporkan sihat dan selamat.

Dalam pada itu, Datuk Dr Sani Araby menegaskan misi kemanusiaan berkenaan akan tetap diteruskan walaupun terdapat beberapa kapal mengalami kerosakan teknikal. 

Orang ramai turut dinasihat supaya menjadikan SNCC sebagai sumber maklumat utama, sekali gus tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi yang boleh melemahkan solidariti antarabangsa terhadap perjuangan Gaza.

JALALUDDIN BIN BAHARIN