
KUALA LUMPUR, 6 April – Kapal Malaysia pertama telah melepasi Selat Hormuz, menurut Kedutaan Iran di Malaysia menerusi hantaran X.
- Hantaran X memaparkan gambar kapal tanpa butiran lanjut.
- Perbincangan Anwar dengan Presiden Iran dapatkan pelepasan untuk tujuh kapal Malaysia terkandas.
- Anwar maklumkan kapal terkandas penting bagi keperluan rakyat dan bekalan minyak negara.
- Sejurus panggilan, Presiden Iran mengarahkan kapal Malaysia diberi laluan.
“Kami telah mengatakan bahawa Republik Islam Iran tidak akan melupakan rakan-rakannya. Kapal Malaysia pertama yang telah melalui Selat Hormuz,” menurut hantaran itu.
Hantaran berkenaan turut memaparkan gambar sebuah kapal yang tidak disertakan butiran lanjut.
Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian telah membolehkan Malaysia mendapatkan pelepasan bagi tujuh kapal Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz untuk meneruskan perjalanan mereka.
“Saya maklumkan kepada Presiden Iran bahawa kapal kami masih terkandas di Selat Hormuz dan ini penting untuk keperluan rakyat dan bekalan minyak negara.
“Sejurus selepas panggilan itu, beliau mengarahkan kapal Malaysia diberi laluan,” katanya pada majlis pelancaran Kolej Vokasional Pengerang di SMK Tanjung Pengelih di Pengerang, Johor.