
KUALA KRAI, 1 Mac – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut, manakala ibunya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 73 Jalan Kota Bharu–Gua Musang berhampiran simpang tiga Kampung Chenis, Pahi, di sini, pagi Sabtu.
- Kanak-kanak perempuan tujuh tahun maut selepas motosikal bertembung dengan kereta di Km73 Jalan Kota Bharu–Gua Musang.
- Ibu mangsa, wanita 37 tahun, cedera parah dan dirawat di Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra.
- Motosikal dipercayai keluar tiba-tiba dari simpang tanpa memberi laluan kepada kenderaan di laluan utama.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; orang ramai diminta hubungi polis jika ada maklumat.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.10 pagi.
Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari Pasir Puteh menuju ke Dabong, manakala motosikal yang ditunggang wanita berusia 37 tahun itu keluar dari arah Kampung Chenis ke jalan utama.
Setibanya di lokasi, motosikal terbabit dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang tanpa memberi laluan kepada kenderaan di laluan utama sebelum berlaku pelanggaran.
Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra untuk rawatan.
Kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala ibunya masih dirawat akibat kecederaan parah.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai atau pegawai penyiasat, Inspektor Nurhasmira Tajol di talian 09-9666222 bagi membantu siasatan.