fb fb fb fb fb

Kanak-kanak perempuan maut ketika terima rawatan

FOTO FAIL

IPOH, 7 Ogos - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat terjatuh di lantai rumah pengasuhnya di Taman Cempaka, di sini.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, laporan kejadian itu diterima daripada ayah mangsa pada Isnin lalu, sekitar pukul 7.20 malam.

Beliau berkata, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas terjatuh sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada Selasa pukul 11.10 malam.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian disebabkan kecederaan kepala akibat trauma tumpul.

"Susulan itu, polis telah menahan seorang wanita berusia 30 tahun yang juga merupakan pengasuh kanak-kanak itu, pada Rabu," kata Azizi menerusi kenyataan.

Siasatan masih dijalankan dengan merakam percakapan saksi-saksi terlibat.

Kes disiasat bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan penganiayaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

TETITIA YUSOFF