fb fb fb fb fb

Kanak-kanak lelaki maut dilanggar bapa secara tidak sengaja

FOTO FAIL

JERTIH, 29 Mei - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dilanggar bapanya secara tidak sengaja ketika mengalihkan kenderaan pacuan empat roda di rumah mereka di Kampung Wakaf Kubor di Kampung Raja, di sini.

Ketua Polis Daerah Besut Superintenden Abdul Rozak Muhammad dalam kenyataan berkata, kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu berlaku apabila bapa kanak-kanakberusia setahun lapan bulan itu mengalihkan kenderaannya setelah selesai mencucinya di halaman rumah.

“Namun lelaki tersebut tidak menyedari anaknya yang sedang bermain telefon bimbit di atas tangga rumah telah bergerak menuju ke arah kenderaan yang dipandunya itu dan menyebabkan dia telah terlanggar kanak-kanak itu,” katanya.

Abdul Rozak berkata bapa kanak-kanak itu kemudiannya membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Gong Medang di sini, namun kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia sekitar pukul 10.30 pagi.

Katanya itu kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

TETITIA YUSOFF