fb fb fb fb fb

Kanak-kanak Kampung Orang Asli Sungai Gabai jalani saringan kesihatan percuma

HULU LANGAT, 19 Ogos -  Seramai 40 kanak-kanak dari Kampung Orang Asli Sungai Gabai menyertai saringan kesihatan percuma dan ceramah kesihatan melalui satu program khas yang disasarkan kepada bayi baru lahir hingga remaja di kampung itu, Sabtu lalu.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dianjurkan oleh Yayasan Kesenian Orang Asli (YKOA) bersama Hospital Ampang, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.


(Foto FB Yayasan Kesenian Orang Asli)

Penasihat YKOA, Dr Andre Ratos berkata program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung itu yang berjumlah 200 orang dengan saringan dilakukan oleh pakar paediatrik dan kakitangan dari Hospital Ampang. 

"Pertumbuhan kanak-kanak, penyakit dan isu lain sering diabaikan dalam komuniti terpinggir seperti Orang Asli. Menyaring kanak-kanak adalah bahagian penting dalam program ini untuk mengenal pasti defisit pertumbuhan dan penyakit biasa. Data akan dianalisis lebih lanjut untuk penilaian seterusnya.

"Kami juga mahu mengenal pasti masalah kesihatan lazim di setiap perkampungan Orang Asli,” katanya dalam satu kenyataan pascaprogram itu.

Kesedaran akan kebersihan asas, pemakanan, mengenal pasti dan menangani kecemasan adalah antara perkara yang disampaikan dalam ceramah kesihatan oleh pakar-pakar hospital Ampang.


(Foto FB Yayasan Kesenian Orang Asli)

Selain itu penduduk juga menerima beg beras, telur dan makanan yang ditaja oleh Hospital Ampang, manakala makan tengah hari, ubat-ubatan, logistik dan serta barangan lain ditaja oleh Suruhanjaya Tinggi Australia, rangkaian HBL, Klinik Dr Leela Ratos, PS Yap dan rakan-rakan, farmasi Abbott dan Kotra.

Pelbagai aktiviti seni dan hiburan kanak-kanak turut diadakan untuk meraikan kanak-kanak itu.

Media Baharu