fb fb fb fb fb

Kampus tetap Akademi Kehakiman Syariah Malaysia siap 2030

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 2 September – Kampus tetap Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan dijangka siap menjelang 2030.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, sementara itu sebuah kampus sementara AKSM telah mula beroperasi di Menara Putrajaya Holdings, Putrajaya sejak 1 Julai lalu.

Menurutnya, inisiatif itu merupakan langkah interim bagi memastikan perancangan di bawah AKSM dapat diteruskan sementara menunggu kampus tetap siap dibina.

Di bawah kerangka latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah merancang untuk meningkatkan kemahiran sedia ada pegawai syariah termasuk melalui perkongsian dengan mahkamah sivil. Selain itu, peluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi turut disediakan sebagai inisiatif meningkatkan kompetensi.

Sementara itu, Dr Zulkifli menjelaskan, graduan dua universiti awam menerusi program Ijazah Sarjana Undang-Undang dan Syariah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) layak dilantik sebagai hakim berlatar belakang pendidikan undang-undang syariah.

“Program ini telah diiktiraf oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia dan graduannya layak dilantik sebagai Pegawai Undang-Undang oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Mereka juga boleh mengisi jawatan majistret serta hakim mahkamah sesyen, malah berkelayakan menjadi hakim atasan di mahkamah sivil,” jelasnya.

Setakat ini, AKSM telah melaksanakan 62 daripada 83 program latihan yang dirancang bagi tahun ini, manakala baki 21 program lagi akan diteruskan sehingga hujung tahun.

Bagi tahun 2026, sebanyak 120 program latihan telah disusun.

Justeru, melalui inisiatif AKSM, Kerajaan MADANI optimis memperkukuh sistem kehakiman syariah negara dengan melahirkan pegawai perundangan dan kehakiman syariah berkompetensi tinggi, sekali gus memperkasa ekosistem perundangan Islam di Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tuan Musoddak Ahmad di Dewan Negara berhubung perkembangan penubuhan AKSM serta usaha kerajaan menambah jumlah hakim berlatar belakang pendidikan undang-undang syariah di Mahkamah Sivil.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE