fb fb fb fb fb

Kampung Orang Asli Kerling lokasi pertama POC Starlink

Teo Nie Ching

HULU SELANGOR, 9 Mei- Kampung Orang Asli Kerling menjadi lokasi pertama di negara ini yang menjalankan pembuktian konsep (POC) Starlink, sebagai alternatif kepada gentian optik bagi capaian talian telekomunikasi yang lebih baik.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, ia merupakan usaha menambah baik kemudahan telekomunikasi di kampung itu.

Alternatif itu dilihat mampu memenuhi keperluan perkhidmatan telekomunikasi, pendidikan dan lain-lain di kawasan berkenaan.

"Sekarang penduduk di sini boleh ada kelajuan internet yang munasabah menerusi POC Starlink. Kita rasa pemasangan itu sesuai untuk tempat seperti ini kerana jarak agak jauh. Keduanya lokasi penduduk tidak luas dan tinggi," katanya selepas meninjau Menara Kampung Orang Asli Kerling di Kuala Kubu Baharu.

Perkhidmatan yang ditawarkan melibatkan syarikat telco utama iaitu CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

Sekiranya projek itu berjalan lancar dan menerima reaksi positif daripada penduduk, konsep POC ini akan diguna pakai di lokasi lain terutamanya Sabah dan Sarawak.

Sebelum itu, Teo turut berpeluang membuat hebahan Info On Wheels Khas Keluar Mengundi kepada orang ramai di Pekan Kuala Kubu Baharu dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Cina bagi menarik orang ramai melaksanakan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi pada 11 Mei ini.

Selain itu, beliau turut meluangkan masa mengedarkan risalah persediaan sebelum keluar mengundi kepada penduduk setempat.

Teo juga melawat dan menjadi tetamu selama 30 minit di studio mini radio SelangorFM di Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Baharu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI