fb fb fb fb fb

Kampung Mukut jadi kampung eko pintar pertama TM

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melakukan lawatan ke Kampung Mukut / Foto Facebook Kesultanan Pahang

ROMPIN, 14 Ogos – Kampung Mukut, Pulau Tioman menjadi lokasi pertama program Jangkau Digital Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai Kampung Eko Pintar.

Inisiatif ini menggabungkan ketersambungan digital, pemerkasaan ekonomi, pendidikan dan pemeliharaan alam sekitar.

Program disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena lawatan Baginda ke kampung itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, usaha transformasi bermula dengan pemasangan kabel dasar laut sepanjang 75 kilometer dari Kuala Rompin.

Langkah itu memperkukuh jalur lebar fiber berkelajuan tinggi dan liputan mudah alih di seluruh Pulau Tioman.

“TM komited membawa teknologi digital ke kawasan pedalaman dan pulau-pulau supaya masyarakat tempatan tidak ketinggalan dalam arus transformasi negara,” katanya.

Di Kampung Mukut, kemudahan ditambah dengan pemasangan WiFi luar bangunan dan Sistem CCTV Vision AI TM.

Pengusaha pelancongan, inap desa dan penyedia bot pelancong turut disenaraikan dalam portal pelancongan komuniti visitmukut.com.

Sekolah Kebangsaan Mukut kini dihubungkan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek, sekolah hab digital utama Tioman.

Langkah itu membolehkan perkongsian sumber dan akses kepada peralatan digital canggih.

Kabel dasar laut itu juga membentuk terumbu buatan, menjadi habitat penting hidupan marin serta menyokong biodiversiti jangka panjang.

Program Jangkau Digital TM akan diperluas ke pulau lain dan kawasan luar bandar di seluruh negara.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN