Kadar pengangguran 2.9 peratus, paras terendah dalam tempoh 11 tahun

Foto hiasan/BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Januari – Kedudukan pasaran pekerjaan negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila kadar pengangguran merekodkan paras terendah dalam tempoh 11 tahun, iaitu 2.9 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus, paras terendah dalam 11 tahun.
  • KDNK suku keempat 2025 berkembang 5.7 peratus, menyumbang kepada pertumbuhan tahunan sekitar 4.9 peratus.
  • Dasar penyesuaian dan pembaharuan kerajaan membantu mengekalkan kestabilan ekonomi walau berdepan cabaran global.
  • Kerangka Ekonomi MADANI dijangka terus jadi asas pengurusan ekonomi berteraskan pertumbuhan seimbang dan kesejahteraan rakyat.

Keadaan itu mencerminkan keupayaan ekonomi negara menyokong peluang pendapatan dan kesejahteraan rakyat.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menyatakan perkembangan tersebut sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan isi rumah dan kestabilan ekonomi domestik.

“Perkembangan ini memberi isyarat positif terhadap kedudukan pasaran pekerjaan serta keupayaan ekonomi untuk terus menyokong peluang pendapatan rakyat,” kata beliau menerusi Taklimat Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan di laman Facebook, hari ini.

Tambahnya, prestasi memberangsangkan itu turut disokong pertumbuhan ekonomi yang kukuh apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan Anggaran Awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Keempat 2025 berkembang sebanyak 5.7 peratus.

Pencapaian itu sekali gus membawa pertumbuhan keseluruhan 2025 kepada sekitar 4.9 peratus, melepasi unjuran rasmi kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus.

Beliau juga menekankan langkah penyesuaian dasar dan pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan membantu mengekalkan kestabilan ekonomi domestik meskipun berdepan persekitaran global mencabar.

“Pendekatan bantuan dan subsidi yang lebih bersasar terus memberi sokongan kepada kuasa beli golongan yang memerlukan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan pengukuhan hubungan antarabangsa menyumbang kepada peningkatan keyakinan pelabur serta kesinambungan aktiviti perdagangan dan pelaburan negara.

Kerangka Ekonomi MADANI dijangka terus menjadi asas pengurusan ekonomi negara dengan penekanan kepada pertumbuhan seimbang, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.