PASIR PUTEH, 22 Mac - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bercadang untuk mempercepatkan operasi pembenihan awan minggu depan bagi menyelamatkan tanaman padi seliaannya berikutan masalah kekurangan air yang kritikal.
Pengerusinya Muhammad Husin berkata, tindakan itu perlu dilakukan segera agar tanaman padi yang sudah ditanam dapat dituai.
Beliau berkata, kemarau yang berlaku tahun ini merupakan yang terburuk dalam sejarah dan Rumah Pam Kemubu, Kota Bharu ketika ini tidak dapat menyalurkan air kerana sudah kering.
Katanya, sebahagian besar tanaman padi di bahagian Kota Bharu Utara dan Selatan sudah tidak dapat diselamatkan kerana air tidak dapat disalurkan.
Menurutnya, sejak KADA ditubuhkan 50 tahun lepas, ini merupakan musim kemarau terburuk yang dialami.
"Kemungkinan minggu depan kita kita akan cuba untuk buat pembenihan awan sebab nampak suasana yang agak beratlah sekarang ini. Berdasarkan MetMalaysia kelmarin bahawa suasana ini akan sampai hingga April.
"Maknanya suasana ini kita perlu buat sesuatu yang lebih cepat, sebab itu saya cadangkan supaya perbincangan akan dibuat nanti minggu depe kita Insya-Allah kita akan buat pembenihan awan," kata Muhammad ketika ditemui pemberita di Majlis Iftar Bersama Pengerusi KADA di kediamannya di Kampung Gong Ketereh, di sini.
Muhammad berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan beberapa lokasi yang sesuai akan dipilih untuk melaksanakan operasi tersebut.
Beliau turut memaklumkan kira-kira 34 peratus daripada keseluruhan 26,833 hektar tanaman padi di bawah KADA dijangka akan terjejas berikutan musim kemarau yang sedang berlaku termasuk 9,180 hektar bagi kawasan Kota Bharu Utara dan Selatan.
Keadaan akan menyebabkan jumlah pengeluaran padi bagi musim penanaman kedua 2023 yang dijangka menyusut sehingga 25 peratus berbanding 212,000 metrik tan hasil tuaian musim pertama.