PUTRAJAYA, 10 Februari - Kementerian Dalam Negeri sedang mempertimbang cadangan mewujudkan kad warga asing sebagai dokumen diri untuk warga asing di Sabah yang telah lama menetap di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Ini bertujuan memastikan semua orang yang berada di negeri itu mempunyai identiti atau dokumen bagi membolehkan keberadaan golongan itu dapat dikenal pasti.
"Walaupun kita tidak tahu negara asal dia, tapi kita tahu dia warga asing, itu penting daripada nanti 10 tahun atau lima belas tahun daripada sekarang, langsung kita tidak tahu anak dia itu. Kita tidak tahu apa hendak bagi, sebab bapanya tidak ada identiti, bagaimana anaknya, cucunya lagi bermasalah", katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK) bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini.
"Yang terbaik adalah dia ada identiti, dia warga asing. Tadi dalam perbincangan kita minta pendataan itu akan dilakukan semula, katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Hamzah berkata mesyuarat JKPWAS-INDUK bersetuju supaya pelaksanaan penguatkuasaan melalui operasi bersepadu diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negeri Sabah diteruskan bagi membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah.
Antara perkara lain yang dibincangkan adalah cadangan penempatan semula masyarakat Pala’u serta mempertimbangkan kemudahan khusus untuk Sabah bagi memastikan pembangunan di negeri itu tidak terjejas dan terus pesat membangun.